
Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, peraturan itu wajar dimulakan Malaysia Airlines memandangkan syarikat berkenaan milik kerajaan.
“Adalah wajar memberi kebenaran kepada pramugari Muslim menunaikan hak-hak mereka sebagaimana disarankan agama Islam,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Dewan Negara, menurut laporan Harakahdaily.
Wan Martina turut berkongsi pengalaman dilaluinya ketika bertugas sebagai doktor di dewan bedah yang tidak membenarkan petugas memakai tudung sebelum ini.
Katanya, pada masa itu beliau memikirkan antara nyawa pesakit dan tuntutan agama yang mewajibkan wanita Muslim menutup aurat.
“Tetapi Alhamdulillah sekarang petugas di dewan bedah, termasuk doktor dan jururawat wanita Muslim dibenarkan memakaikan tudung,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dilaporkan mempersoal pendirian kerajaan mengenai pakaian seragam pramugari Malaysia yang tidak menutup aurat, termasuk hak pramugari Islam yang diwajibkan memakai pakaian seragam yang tidak “tutup aurat”.
“Terdapat dalam kalangan mereka yang menutup aurat ketika berada di rumah atau di daratan tetapi tiba-tiba kerana tugas, demi sesuap nasi maka mereka terpaksa membuka aurat ketika di udara,” katanya dipetik The Star sebagai berkata, sebelum menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperjuangkan isu mereka.
Susulan itu, dua bekas menteri mengecam kenyataan Ahli Parlimen PAS berkenaan yang membangkitkan isu aurat berkaitan pakaian seragam pramugari Malaysia, dengan mengatakan parti Islam itu sudah ketandusan idea.
Zaid Ibrahim berkata, negara tidak akan pernah bebas daripada “kata-kata bodoh” sedemikian sehingga PAS disingkir dari Parlimen.
Bekas Menteri Undang-undang itu juga berkata, kenyataan PAS jelas menunjukkan bahawa parti Islam itu tidak boleh menyumbang apa-apa lagi kepada negara.
“Mereka tiada idea. Mereka hanya ada pemikiran lama yang tidak membawa apa-apa kebaikan,” katanya kepada FMT.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, PAS sebaliknya perlu menumpukan kepada perkara lebih utama seperti kenaikan harga makanan, gaji minimum dan rumah mampu milik.