Golongan kaya pun boleh alami kekurangan nutrisi

Golongan kaya pun boleh alami kekurangan nutrisi

Yasmin Ooi dari Universiti Malaysia Sabah berkata, kurang pengawasan terhadap pemilihan makanan boleh menyebabkan pengambilan vitamin dan mineral yang rendah untuk pertumbuhan optimum kanak-kanak.

Makanan sekolah yang seimbang boleh memastikan kanak-kanak mendapat nutrien mencukupi, kata Yasmin Ooi dari Universiti Malaysia Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang pakar nutrisi menepis kepercayaan umum hanya orang miskin yang menghadapi pemakanan tidak seimbang.

Yasmin Ooi dari Universiti Malaysia Sabah memberitahu FMT, status sosioekonomi bukan satu-satunya faktor yang menyumbang kepada kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

“Keluarga berpendapatan rendah selalunya membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk makanan yang menghilangkan rasa lapar, seperti makanan kaya dengan karbohidrat.

“Bagi kanak-kanak di luar kemiskinan, kurang pengawasan terhadap pemilihan makanan menyebabkan pengambilan vitamin dan mineral yang rendah untuk pertumbuhan optimum.”

Yasmin Ooi.

Ooi berkata, kerajaan mungkin mahu mempertimbangkan penggubalan undang-undang penyediaan makanan di sekolah untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah bagi memastikan pengambilan nutrien mencukupi.

Vera Saw, pengurus negara bagi syarikat produk makanan Danone, berkata kira-kira 644,000 rakyat Malaysia yang berusia lima tahun ke bawah mengalami anemia kekurangan zat besi (IDA).

Vera Saw.

“Kanak-kanak biasanya terdedah kepada keadaan ini kerana kebanyakan ibu bapa tidak menyedari pengambilan nutrisi mereka, khasnya makanan kaya dengan zat besi, perlu ditingkatkan secara beransur-ansur ketika mereka membesar,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tekanan ekonomi akibat pandemik memburukkan lagi kekurangan zat makanan, khasnya dalam kalangan kanak-kanak kumpulan pendapatan B40.

Katanya, ini sebabnya mengapa hampir 1/4 daripada kanak-kanak di bawah lima tahun di Malaysia terbantut dan IDA sukar dikesan dalam kalangan kanak-kanak kerana gejalanya mungkin tidak begitu ketara.

Katyana Azman.

Pakar psikologi kanak-kanak, Katyana Azman berkata, kesedaran terhadap zat pemakanan dalam kalangan ibu bapa dan anak yang rendah antara faktor penyumbang kepada diet tidak baik.

“Makanan yang dihidangkan di sekolah tidak dilengkapi nutrien sepenuhnya,” katanya sambil menambah makanan dengan nilai nutrien rendah akan menyebabkan ketidakseimbangan kimia dan biologi dalam kanak-kanak.

“Kualiti makanan mempunyai kesan besar ke atas mood kanak-kanak dan impak serius terhadap perkembangan fizikal serta kognitif mereka, menghalang kemampuan untuk mencapai potensi penuh mereka dalam jangka panjang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.