Siasatan pengambilan tanah flat Kampung Bharu tangguh tahun depan

Siasatan pengambilan tanah flat Kampung Bharu tangguh tahun depan

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) berkata persetujuan dicapai selepas rundingan bersama semua pihak.

Menteri Wilayah Persekutuan akan sentiasa berusaha membantu bagi memastikan rundingan di antara pemaju dan pemilik lot/flat terbabit berjalan dengan harmoni, menurut PKB.
PETALING JAYA:
Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim mencadangkan supaya proses siasatan pengambilan tanah di Kampung Baru ditangguhkan ke tahun depan bagi membolehkan rundingan di antara pemaju dan pemilik lot/flat PKNS Sungai Baru berhubung isu pampasan mencapai persetujuan.

Dalam kenyataan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) berkata, keputusan itu dicapai selepas rundingan bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pemaju dan penduduk PKNS Sungai Baru baru-baru ini.

“Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui PKB bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula ini selaras fungsinya yang dinyatakan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733).

“Menteri Wilayah Persekutuan akan sentiasa berusaha untuk membantu bagi memastikan rundingan di antara pemaju dan pemilik lot / flat terbabit berjalan dengan harmoni,” menurut kenyataan itu.

Sabtu lalu, hampir 20 penduduk Kampung Sungai Baru berkumpul untuk memohon supaya kerajaan campur tangan dalam isu pampasan pengosongan unit yang didakwa ditawarkan antara RM200,000 hingga RM250,000 kepada penduduk rumah flat terbabit.

Shahidan bagaimanapun menolak dakwaan itu sambil memaklumkan pampasan sebenar kepada penduduk yang terlibat dalam projek pembangunan semula kawasan berkenaan lebih tinggi daripada nilai yang didakwa, iaitu kurang RM250,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.