
Setiausaha dan Pengasas Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) Alicia Teoh berkata, hutan seluas kira-kira 161 hektar (400 ekar) itu penting bagi mengekalkan koridor ekologi dengan dua lagi hutan simpan kekal di utara dan selatannya. Ketiga-tiga hutan itu meliputi lebih 2,400 hektar (6,000 ekar) secara keseluruhan.
Katanya, langkah mengekalkan koridor ekologi ini atau laluan untuk haiwan berkeliaran kini lebih penting dengan rancangan masa depan yang sedang dirangka untuk mengembangkan perbandaran di sekitarnya.

FMT mengikuti pasukan SACF dalam aktiviti kamera perangkap yang mereka harap boleh mendapatkan lebih banyak bukti pergerakan hidupan liar.
“Kami terus mengembangkan pangkalan data (hidupan liar) kami. Kami telah mengenal pasti lebih 300 spesies yang disahkan setakat ini di hutan kami. Kami menyasarkan untuk mendapatkan rakaman spesies yang tidak didapati melalui cara lain, terutamanya haiwan yang aktif pada waktu malam dan tapir Malaya,” kata Teoh.

Beliau berkata, ramai pendaki dan ahli jawatankuasa SACF pernah melihat najis dan kesan tapak kaki tapir, iaitu satu spesies haiwan terancam.
Pangkalan data komuniti akan menunjukkan bahawa walaupun kecil hutan seperti hutan komuniti Shah Alam boleh membawa impak ekologi yang besar, katanya.
“Untuk spesies berkembang, ia memerlukan kawasan untuk berkeliaran. Oleh itu jika kita ingin melindungi spesies atau memastikan kesinambungannya, kita perlu mempunyai kawasan yang mencukupi untuk ia bergerak,” tambahnya.

Hutan ini diapit oleh tujuh kawasan kejiranan utama termasuk Setia Alam, Setia Ecopark, Alam Budiman dan Bandar Nusa Rhu. Menurut SACF, hutan yang menarik lebih 1,000 pengunjung setiap minggu itu popular dalam kalangan pendaki yang ingin keluar seketika daripada kehidupan di bandar.
Teoh berkata, pengunjung melaporkan kesihatan mental dan fizikal mereka bertambah baik setelah mengunjungi hutan itu.
Laluan mendaki yang ada berbeza dari segi kesulitan; laluan yang lebih mudah sesuai untuk keluarga di mana kanak-kanak boleh menikmati alam semula jadi dan belajar daripadanya. Laluan-laluan baharu akan dikongsi di laman Facebook atau menerusi aplikasi WhatsApp dalam kalangan penduduk dan pendaki.
SACF berkata, kerajaan menganggap hutan kecil itu kurang bernilai.

Ia sebahagian besarnya masih tidak disentuh, selain daripada pembalakan terpilih di beberapa kawasan. Bagaimanapun pada 2019, kumpulan itu mendapati ia telah dikeluarkan sebagai hutan simpan kekal tanpa sebarang notis rasmi dalam warta Selangor.
“Kami telah menghantar banyak surat kepada Menteri Besar, Datuk Bandar, Exco alam sekitar dan banyak pihak lain untuk cuba menarik perhatian mereka berhubung nilai hutan ini,” kata Teoh.
Beberapa bahagian hutan itu dijadualkan untuk pembangunan campuran, tanah perkuburan dan jalan raya bawah draf rancangan pembangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2035 yang diterbitkan baru-baru ini.

Teoh mengingatkan bahawa hutan itu mungkin diratakan dalam tempoh beberapa tahun lagi jika kerajaan gagal melindunginya. Berdepan pandangan yang suram ini, beliau berharap kerajaan Selangor akan mengambil langkah terbaik untuk rakyat, namun mengakui bahawa mengekang arus pembangunan mungkin sia-sia.
“Saya berharap kerajaan negeri akan mendengar suara kami dan tidak akan mengecewakan kami. Sangat penting untuk kita mengekalkan hutan seperti ini yang boleh diakses dan dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

Pada September, ahli Exco Hee Loy Sian, yang mengetuai Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Selangor berkata, projek jalan dan perumahan di hutan komuniti itu bukan dalam kawasan hutan simpan kekal.
Beliau berkata, tanah itu telah dinyahwartakan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Hee memberi jaminan bahawa amalan kerajaan negeri adalah menggantikan serta-merta mana-mana tanah hutan simpan kekal yang akan dinyahwartakan, selaras dengan pindaan kepada Enakmen Akta Perhutanan Negeri 1985 (Pemakaian).
Di tengah-tengah perkembangan yang pesat, tidak hairanlah hutan itu disayangi oleh ramai penduduk bandar yang tinggal di sekitarnya, lebih-lebih lagi kerana kawasan alam semula jadi di Selangor semakin pupus dari tahun ke tahun.