Waran tangkap terhadap warga emas tak hadir bicara kes bunuh pembantu rumah

Waran tangkap terhadap warga emas tak hadir bicara kes bunuh pembantu rumah

Mahkamah dimaklumkan MA Ambika tahu mengenai perbicaraan hari ini tetapi tidak hadir.

MA Ambika dan anak perempuannya R Jayavartiny (sebelah kanannya) ketika perbicaraan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 2018.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang warga emas yang dituduh membunuh pembantu rumah warga Indonesia kerana gagal hadir perbicaraan.

Hakim Vernon Ong mengeluarkan perintah itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa MA Ambika, 63, tidak memberi sebarang respons kepada usaha polis untuk menyampaikan notis di rumahnya di Pulau Pinang.

“Notis itu, yang memaklumkan kepada responden mengenai perbicaraan hari ini diletakkan di pintu pagar rumahnya pada 7 Dis,” kata Dusuki.

“Anak perempuannya (R Jayavartiny) mengakui dia (Ambika) tahu mengenai perbicaraan mahkamah hari ini, tetapi tidak muncul.

“Perbicaraan telah ditangguhkan beberapa kali kerana ketidakhadirannya. Kami terpaksa mengeluarkan waran untuk memaksanya hadir ke mahkamah.”

Hakim lain yang turut bersidang adalah Zaleha Yusof dan Harmindar Singh Dhaliwal.

Ong menyatakan bahawa Jayavartiny, yang hadir di mahkamah bagi pihak Ambika, telah mengemukakan laporan perubatan dan sijil perubatan ibunya.

“Bagaimanapun, sijil perubatan itu tidak menyebut dia (Ambika) tidak boleh hadir ke mahkamah kerana keadaan kesihatannya,” kata hakim itu, selain menambah bahawa mahkamah akan melantik peguam untuk mewakili Ambika dalam kes itu.

Mahkamah menetapkan 24 Jan sebagai tarikh sebutan seterusnya.

Ambika dituduh membunuh Adelina Lisao, 28, di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Bukit Mertajam, pada 10 Feb 2018.

Mahkamah Tinggi di George Town membebaskannya, walaupun pihak pendakwaan memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu untuk membebaskan Ambika.

Dalam keputusannya, hakim Nordin Hassan berkata, pendakwaan telah menerima representasi daripada pasukan peguam Ambika dan tidak akan meneruskan prosiding terhadapnya.

“Keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap responden (Ambika) dibuat dua hari sebelum hakim Mahkamah Tinggi memutuskan untuk membebaskannya pada 18 April 2019,” katanya.

“Atas alasan ini sahaja, tindakan hakim perbicaraan menggunakan budi bicaranya untuk memerintahkan responden dibebaskan pada 18 April 2019 adalah wajar.

“Tiada sebab sahih untuk pendakwaan memohon DNAA sedangkan telah diputuskan bahawa tuduhan terhadap responden akan digugurkan.”

Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Kumpulan hak asasi manusia Tenaganita sebelum ini mempersoalkan tindakan menggugurkan tuduhan bunuh itu.

Kira-kira 30,000 orang menandatangani petisyen menuntut penjelasan daripada pihak pendakwaan.

Ambika ‘sengaja’ elak hadir ke mahkamah

Awal hari ini, Dusuki meminta mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Ambika atas alasan “terdapat kelakuan yang disengajakan oleh responden” dengan tidak hadir pada perbicaraan kes mahkamahnya.

“Kami pergi ke rumahnya tujuh kali tahun ini untuk menyampaikan notis dan petisyen rayuan, tetapi dia dan anak perempuannya tidak memberi respons,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir polis pergi ke rumah Ambika adalah pada petang Selasa untuk menyampaikan notis mengenai perbicaraan hari ini.

Jayavartiny memberitahu mahkamah Ambika tidak dapat berjalan dan ketika polis tiba, mereka berada di hospital.

“Kesihatannya semakin teruk sejak tahun lepas,” katanya ketika ditanya oleh Zaleha mengenai keadaan Ambika.

Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang Bambang Suharto dan pegawai kedutaan hadir di mahkamah ketika prosiding.

Bambang berharap perbicaraan dapat diteruskan di mahkamah tertinggi.

“Kami harap kes ini akan membawa keadilan kepada Adelina dan pekerja asing yang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.