Tangguh bayaran pinjaman LPPSA hingga terima kunci, CUEPACS beritahu kerajaan

Tangguh bayaran pinjaman LPPSA hingga terima kunci, CUEPACS beritahu kerajaan

Ketika ini syarat pembiayaan LPPSA menetapkan peminjam perlu membuat bayaran semula pinjaman selepas 24 bulan dari tarikh kelulusan pinjaman.

CUEPACS turut memohon pertimbangan kerajaan untuk memberikan moratorium pinjaman kepada penjawat awam yang mempunyai pembiayaan perumahan melalui LPPSA.
PETALING JAYA:
Kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) diminta menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam sehingga rumah siap dibina atau selepas menerima kunci.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) mengakibatkan banyak projek perumahan tergendala dan tidak dapat disiapkan mengikut tarikh ditetapkan.

“Ketika ini syarat pembiayaan LPPSA menetapkan peminjam perlu membuat bayaran semula pinjaman selepas 24 bulan dari tarikh kelulusan pinjaman.

“Perkara ini telah mengakibatkan ada peminjam yang terpaksa membayar balik pembiayaan mereka walaupun kediaman mereka masih belum disiapkan oleh pemaju ekoran projek yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh 24 bulan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, situasi ini mengakibatkan penjawat awam yang membuat pembiayaan LPPSA terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berganda iaitu membayar sewa rumah sedang didiami dan bayaran pinjaman untuk rumah yang masih belum siap.

Dalam pada itu, CUEPACS turut memohon pertimbangan kerajaan untuk memberikan moratorium pinjaman kepada penjawat awam yang mempunyai pembiayaan perumahan melalui LPPSA.

Adnan berkata, ini kerana penjawat awam dan pesara masih menerima gaji serta pencen penuh bagi menampung perbelanjaan bulanan, justeru ia tidak wajar digunakan untuk menolak pemberian moratorium pinjaman LPPSA.

Katanya, CUEPACS berharap LPPSA dapat memahami situasi semasa yang melanda negara kerana banyak kerja pembinaan tertangguh dan kemajuan pembinaan juga sangat perlahan disebabkan Covid-19.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, adalah suatu perkara yang sangat memeritkan apabila mereka ini perlu dipotong gaji penuh setiap bulan untuk membayar semula pinjaman,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.