
“Saya kini lebih tenang,” kata lelaki berusia 32 tahun itu kepada FMT.
“Pada 2016, (sikap) saya sangat berapi-api. Saya masih muda dan saya buat kesilapan. Manusia buat kesilapan tetapi yang paling penting adalah mereka berubah dan harus diberi peluang jika dapat berubah dan bertambah baik.”
Lima tahun lalu, Aziz adalah salah seorang calon DAP yang lebih menonjol dengan ketegasannya dalam ucapan dan kenyataan. Beliau kalah kerusi Batu Kitang kepada Lo Khere Chiang daripada Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, beliau menjadi pembantu kepada Chong Chieng Jen, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH). Pengalaman itu mengajarnya nilai ketenangan kerana “rakyat mengharapkan parti dan wakilnya untuk mencapai sesuatu”, katanya.
Beliau kini “semestinya lebih matang, lebih bersedia untuk berkhidmat” katanya, dan akan menggunakan “keesahan, fakta dan logik” dalam hujahnya, bukan menyerang lawan.
Aziz boleh bercakap dalam tujuh bahasa dan dialek, termasuk Mandarin, Hakka, Iban dan Bidayuh.
Usahanya meningkatkan penguasaan bahasa Bidayuh menjadikannya lebih mampu untuk berhubung dengan masyarakat dan berkhidmat dengan lebih baik, katanya.
Batu Kitang adalah kerusi majoriti Cina tetapi sebahagian besar daripada 20,000 pengundi di kawasan separa bandar itu terdiri daripada masyarakat Bidayuh.
Aziz berkata, banyak yang telah berubah sejak 2016 dengan masyarakat Bidayuh beralih kepada pembangkang, satu trend yang terbukti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila BN kehilangan Puncak Borneo dan Mas Gading kepada pembangkang.
Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang lahir daripada sisa-sisa BN Sarawak, menyuarakan kebimbangan mengenai lapan kerusi majoriti Bidayuh disebabkan perubahan pada PRU14.
Undi masyarakat Bidayuh akan menjadi penentu kemenangan di Batu Kitang, kata Aziz, dan kali ini beliau lebih yakin untuk memenangi sokongan mereka.
Pada PRN 18 Dis nanti, Aziz akan bertanding menentang Lo daripada GPS, Liu Thian Leong daripada Bersatu, dan Wong Tun Teck daripada Parti Bumi Kenyalang.