Setiausaha Negara AS lawat Malaysia mulai 14 Dis

Setiausaha Negara AS lawat Malaysia mulai 14 Dis

Antony Blinken akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Isu antarabangsa dan serantau berkepentingan bersama akan dibincangkan secara menyeluruh semasa lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken akan melawat Malaysia dari 14 hingga 15 Dis.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan semalam menyatakan sempena lawatan sulung ke Malaysia itu, Blinken akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Beliau juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut kenyataan itu, isu antarabangsa dan serantau berkepentingan bersama akan turut dibincangkan secara menyeluruh semasa lawatan tersebut.

Lawatan itu juga memberi peluang besar kepada Malaysia dan AS untuk memperluas kerjasama pelbagai bidang di samping meneroka inisiatif-inisiatif baharu.

Malaysia akan terus melaksanakan usaha-usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama berlandaskan kerangka utama Kerjasama Komprehensif Malaysia-Amerika Syarikat.

Kerjasama aktif dan berterusan dalam perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital dan ekonomi hijau, keselamatan siber, pertahanan, pelancongan, kesihatan, pendidikan dan hubungan antara rakyat telah memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua negara

AS adalah antara rakan dagang dan pelabur utama Malaysia.

Pada 2020, nilai dagang dua hala Malaysia-AS berjumlah RM178.18 bilion, manakala nilai pelaburan AS di Malaysia dalam sektor pembuatan bernilai RM3.7 bilion.

Sementara itu, kenyataan media Kedutaan AS di Kuala Lumpur memaklumkan lawatan Blinken ke Malaysia adalah sebahagian daripada lawatannya ke rantau ini dari 13-16 Dis yang turut merangkumi Indonesia dan Thailand.

Di Jakarta, beliau akan menyampaikan ucapan mengenai kepentingan rantau Indo-Pasifik dan Perkongsian Strategik AS-Indonesia.

Di Malaysia, Blinken akan menumpukan mengenai perkongsian AS-Malaysia dalam menangani cabaran bersama, termasuk Covid-19, membina rantaian bekalan berdaya tahan dan memastikan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

Di Thailand, beliau akan mengulangi komitmen AS terhadap pakatan perjanjian AS-Thailand, berusaha ke arah pemulihan ekonomi pasca pandemik dan menangani krisis iklim.

Pada setiap lawatan itu, Blinken turut akan menyentuh mengenai krisis di Myanmar (Burma).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.