Lori tangki bawa asid sulfurik terbabas di Kuala Pilah

Lori tangki bawa asid sulfurik terbabas di Kuala Pilah

Lori membawa muatan 16,500 liter asid sulfurik itu terbabas dan terbalik di bahu jalan di KM8 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir.

Anggota bomba bertindak untuk menyekat aliran asid mengalir ke anak sungai berdekatan. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)
SEREMBAN:
Sebuah lori tangki membawa muatan 16,500 liter asid sulfurik terbabas dan terbalik di bahu jalan di KM8 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir dekat sini hari ini.

Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Negeri Sembilan Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah dan HAZMAT Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 2.11 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lori yang membawa asid dengan kelikatan 98% itu dipercayai dari Kemaman, Terengganu menghala ke Sendayan, Seremban.

“Terdapat dua kebocoran pada tangki lori itu sehingga menyebabkan berlaku tumpahan asid di jalan raya. Pasukan HAZMAT kemudiannya membuat benteng bagi menyekat aliran asid mengalir ke anak sungai berdekatan.

“Pemandu lori iaitu lelaki berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kejadian juga tidak menjejaskan kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata proses memindahkan asid ke dalam tangki ganti sedang dilakukan pihaknya manakala Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar turut melakukan pemantauan dan tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Amran Mohd Ghani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.