Kos terlalu tinggi, pilihan raya kerajaan tempatan tak akan dilaksana, kata KPKT

Kos terlalu tinggi, pilihan raya kerajaan tempatan tak akan dilaksana, kata KPKT

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang membangunkan garis panduan pelantikan Ahli Majlis PBT bagi memperkemaskan lagi pelantikan Ahli Majlis.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Ahli Majlis PBT yang tidak menunjukkan prestasi baik boleh digugurkan atau tidak dilantik semula selepas tamat tempoh pelantikan.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan (PRKT), berikutan kos untuk mengadakannya terlalu tinggi melibatkan kira-kira sejumlah RM302 juta bagi semua 151 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menjawab pertanyaan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan cadangan untuk mengadakan semula PRKT bagi memilih Ahli Majlis PBT antara perkara yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Namun katanya, Jemaah Menteri pada 17 Julai tahun lalu bersetuju cadangan itu tidak diteruskan.

“Kerajaan hari ini tidak bercadang untuk melaksanakan PRKT. Ini kerana sistem pelantikan Ahli Majlis PBT yang sedia ada berjalan dengan baik.

“Kos mengadakan PRKT dianggarkan berjumlah RM2 juta bagi setiap PBT dan RM302 juta bagi kesemua 151 PBT di seluruh negara. Anggaran kos ini adalah minimum kerana tidak termasuk kos tersembunyi yang perlu ditanggung oleh agensi lain,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.

Selain itu KPKT berkata, sekiranya pilihan raya itu dilaksanakan setiap dua tahun seperti dicadangkan, ia akan menyebabkan fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat terjejas memandangkan terlalu banyak masa dan tenaga ditumpukan kepada proses kempen pilihan raya.

Jelasnya, walaupun tanpa PRKT, setiap PBT masih boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, malah melalui sistem sedia ada, Ahli Majlis PBT yang tidak menunjukkan prestasi yang baik boleh digugurkan atau tidak dilantik semula selepas tamat tempoh pelantikan.

“Pada kebiasaannya, pelantikan Ahli Majlis adalah untuk tempoh dua tahun dan mereka yang menunjukkan prestasi yang rendah akan digugurkan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

“Pihak KPKT melalui kerjasama Institut Latihan KPKT dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) juga ada menyediakan latihan untuk pemantapan Ahli Majlis PBT pada setiap tahun,” jelasnya.

Bagaimanapun, bagi memperkemaskan lagi pelantikan Ahli Majlis, KPKT sedang membangunkan garis panduan pelantikan Ahli Majlis PBT.

“Antara lain, pelantikan Ahli Majlis perlu memenuhi kriteria tempoh pelantikan, kelayakan akademik atau pengalaman profesional, komposisi masyarakat seperti kaum, jantina, golongan minoriti dan sebagainya,” katanya.

Pilihan raya PBT mula diperkenalkan pada 1956 di Majlis Perbandaran Georgetown manakala kali terakhir pilihan raya PBT diadakan pada 1963.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.