Institut pendidikan cetus kluster baharu di Ranau, kata Masidi

Institut pendidikan cetus kluster baharu di Ranau, kata Masidi

Antara lokaliti yang terlibat dengan kluster itu ialah asrama SMK Timbua, kuarters SMK Timbua dan kuarters SMA Mohd Ali.

Masidi Manjun berkata, sebanyak 329 lagi kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah hari ini, iaitu meningkat tujuh kes berbanding semalam. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kluster baharu yang direkodkan di Sabah, hari ini, iaitu Kluster Debut adalah membabitkan institusi pendidikan iaitu dua buah sekolah di Ranau.

Katanya, sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Timbua yang membabitkan asrama dan kuarters guru dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Mohd Ali yang membabitkan kuarters guru di situ

“Kluster ini berpunca daripada seorang guru lelaki yang dikesan positif melalui saringan kendiri.

“Hasil siasatan dan saringan lanjut dalam kalangan kontak rapat mendapati seramai 31 orang lagi telah dijangkiti dengan kesemua pesakit telah diasingkan serta dirawat sewajarnya.

“Antara lokaliti yang terlibat dengan kluster ini ialah asrama SMK Timbua, kuarters SMK Timbua dan kuarters SMA Mohd Ali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, sebanyak 329 lagi kes baharu dicatatkan, di Sabah hari ini, iaitu meningkat tujuh kes berbanding semalam.

Katanya, hampir 97% daripada pesakit pada hari ini berada dalam kategori 1 dan 2, seorang pesakit dalam kategori 3, dua pesakit dalam kategori 4 dan tiada pesakit dalam Kategori 5 manakala tujuh lagi masih dalam penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.