Bekas menteri bidas PAS berhubung isu pakaian pramugari

Bekas menteri bidas PAS berhubung isu pakaian pramugari

Zaid Ibrahim berkata parti Islam itu ketandusan idea, manakala Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa mereka menumpukan isu yang lebih penting.

Kerajaan semalam diminta menyatakan pendiriannya mengenai pakaian seragam pramugari Muslim yang bekerja untuk syarikat penerbangan tempatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua bekas menteri mengecam seorang Ahli Parlimen PAS yang membangkitkan isu aurat berkaitan pakaian seragam pramugari Malaysia, dengan mengatakan parti Islam itu sudah ketandusan idea.

Zaid Ibrahim berkata, negara tidak akan pernah bebas daripada “kata-kata bodoh” sedemikian sehingga PAS disingkir dari Parlimen.

Bekas Menteri Undang-undang itu juga berkata, kenyataan PAS itu jelas menunjukkan bahawa parti Islam itu tidak boleh menyumbang apa-apa lagi kepada negara.

“Mereka tiada idea. Mereka hanya ada pemikiran lama yang tidak membawa apa-apa kebaikan,” katanya kepada FMT.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, PAS sebaliknya perlu menumpukan kepada perkara yang lebih utama seperti kenaikan harga makanan, gaji minimum dan rumah mampu milik.

“Berapa kali ini (isu mengenai pakaian pramugari) perlu dibangkitkan di Parlimen?

“Fokus pada isu sebenar,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam ciapan di Twitter.

Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman semalam mempersoalkan pendirian kerajaan mengenai pakaian seragam pramugari Malaysia yang tidak menutup aurat. Ini termasuk hak pramugari Islam yang diwajibkan memakai pakaian seragam yang tidak “tutup aurat”, lapor The Star.

“Terdapat dalam kalangan mereka yang menutup aurat ketika berada di rumah atau di daratan tetapi tiba-tiba kerana tugas, demi sesuap nasi maka mereka terpaksa membuka aurat ketika di udara,” katanya dipetik sebagai berkata, sebelum menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperjuangkan isu mereka.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menjawab soalannya dengan mengatakan bahawa isu kebajikan pekerja terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pekerjaan.

Minggu lalu, Latiff memberitahu Dewan Rakyat mengenai aduan pekerja hotel wanita Muslim yang mendakwa terpaksa memakai skirt pendek dan dilarang bertudung ketika bekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.