
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata, beliau menginsafi keputusan bertanding akan menjejaskan hubungan baik antara Bersatu dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Saya telah mendapat nasihat daripada pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati antara Perikatan Nasional dan Pengerusi GPS, Abang Johari Openg.
“Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh antara Perikatan Nasional dan GPS,” katanya dalam kenyataan.
Ali berkata, beliau yakin muafakat itu adalah bagi menerus dan mempertahankan hubungan utuh antara PN dan GPS.
“Justeru, saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN N 39 Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik,” katanya.
Beliau turut merayu pengundi bukan sahaja di Krian, malah Kalaka dan Kabong yang semuanya bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan padu kepada calon GPS.
Terdahulu, Bersatu mengumumkan parti itu tidak bertanding pada PRN12 Sarawak dan berikrar memberi sokongan penuh kepada GPS pimpinan Abang Johari, namun parti berkenaan dikejutkan dengan tindakan Ali bertanding sebagai calon Bebas.
Ali menyandang kerusi Krian sejak 2011 dan juga Ahli Parlimen Saratok selepas menang sebagai calon PKR, namun kini menyertai Bersatu susulan “Langkah Sheraton”.
Sementara itu, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, berkata pihaknya menyanjung semangat, iltizam dan komitmen Ali yang berkorban demi masa depan rakyat Sarawak.
“Tindakan beliau ini (tarik diri) wajar dijadikan contoh dan tauladan oleh semua ahli politik kerana keberanian beliau bertindak ini adalah demi kestabilan politik dan perjuangan yang lebih besar untuk rakyat Sarawak.
“Prinsip dan keluhuran beliau ini perlu dijadikan tunjang perjuangan dalam membentuk kejayaan Bersatu Sarawak amnya dan politik Sarawak khasnya dan semua pihak perlu mencontohi pengorbanan dan keikhlasan beliau demi rakyat Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Bersatu Sarawak kekal konsisten dalam menyatakan pendirian dan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Abang Johari Openg yang berjaya mengekalkan pembangunan dan keamanan kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama, kaum dan keturunan.