
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee berkata, tiga agensi berkenaan ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Tiga agensi ini yang memantau dan mengeluarkan sijil pengiktirafan kepada loji pengeluar dari luar negara, semua pengimportan ayam hanya dibenarkan daripada loji diiktiraf dari segi kesihatan, dan sijil halal.
“Kita dah mengimport ayam sejak sekian lama, kita mengimport ayam dari loji diiktiraf kerajaan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan ke-36.
Beliau berkata, keputusan mengimport ayam bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ayam tempatan yang mana pemerhatian kerajaan mendapati negara menghadapi masalah kekurangan bekalan ayam beberapa bulan lepas.
Katanya, inisiatif berkenaan hanya buat sementara waktu dan akan dihentikan sebaik sahaja bekalan ayam di pasaran mencukupi.
Sebelum ini, kerajaan membenarkan ayam bulat sejuk beku diimport selama tiga bulan bermula bulan ini hingga Feb 2022 bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran melibatkan pertimbangan import hingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.