
Hakim Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Mahkamah menetapkan perbicaraan selama dua hari pada 15 dan 16 Feb depan.
Abdul Wahab dalam penghakiman 10 muka surat yang mengambil masa kira-kira 45 minit itu berkata, terdapat beberapa elemen yang telah dibuktikan daripada keterangan saksi bahawa dakwaan rogol itu wujud.
Katanya, elemen pertama yang dibuktikan adalah berlakunya penetrasi dan tertuduh melakukan hubungan seks tanpa kerelaan mangsa selain keterangan itu konsisten dengan soalan balas peguam.
Abdul Wahab berkata, pakar memaklumkan wujud koyakan baharu dan berlaku penetrasi pada kemaluan mangsa.
Beliau berkata, keterangan mangsa yang juga saksi pendakwaan turut disokong dengan keterangan beberapa saksi lain yang menyokong dakwaannya.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin, manakala Paul Yong diwakili peguam Rajpal Singh dan Salim Bashir.
Sementara itu Rajpal ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, pihaknya menghormati keputusan berkenaan dan pada masa sama akan mengemukakan empat saksi pembelaan ketika tertuduh memberikan pembelaan secara bersumpah pada 15 dan 16 Feb depan.
Pada 28 Sept lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 5 April lepas.
Yong, 51, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.
Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020 Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.