Rakyat Malaysia harus rebut peluang isi kekosongan pekerjaan ganti warga asing

Rakyat Malaysia harus rebut peluang isi kekosongan pekerjaan ganti warga asing

Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (atau JaminKerja) akan memberi insentif kepada majikan mengambil Keluarga Malaysia yang tidak bekerja.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik langkah kerajaan memberi keutamaan kepada warga tempatan untuk mengisi peluang pekerjaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lambakan pekerja asing di Malaysia bukan lagi satu isu baharu, majikan memilih untuk menggaji pekerja warga asing kerana kadar upah mereka lebih murah berbanding pekerja tempatan.

Senario ini secara tidak langsung menyebabkan peluang pekerjaan rakyat Malaysia tersekat dan pengangguran dalam kalangan mereka juga semakin meningkat lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Sehubungan itu, menerusi Bajet 2022, kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (atau JaminKerja), akan memberi insentif kepada majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak bekerja.

Usaha kerajaan untuk menggalakkan majikan menggaji warga tempatan sebagai tenaga kerja merupakan langkah untuk menggantikan pekerja warga asing dengan tambahan 10% daripada gaji akan diberikan kepada pekerja setiap bulan bagi tempoh 12 bulan.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan memberi keutamaan kepada warga tempatan untuk mengisi peluang pekerjaan.

Beliau berkata, negara memerlukan banyak peluang pekerja yang diisi oleh penduduk di Malaysia khususnya warga tempatan untuk menjana semula ekonomi mereka yang terkesan selepas kehilangan pekerjaan susulan pandemik Covid-19.

“Dengan inisiatif itu rakyat kita ada pekerjaan dan pendapatan, maka itu secara tidak langsung turut meningkatkan pendapatan sekali gus merancakkan ekonomi dalam negara kita,” katanya ketika dihubungi FMT.

Dalam pada itu, Effendy juga mengingatkan agar rakyat tempatan mengambil peluang ditawarkan kerana jika tidak dimanfaatkan oleh mereka, maka pihak industri tiada pilihan selain menggaji pekerja warga asing.

“Kalau kita tidak ambil peluang itu, ia akan diambil oleh orang luar. Pihak industri terpaksa mengambil pekerja asing, itu yang kita tidak mahu. Kita nak keutamaan itu diberikan kepada rakyat tempatan dulu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan beberapa inisiatif dalam Bajet 2022 dalam menjana dan mengekalkan pekerjaan antaranya program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, menggalakkan wanita kembali bekerja dan juga MySTEP.

Kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) akan menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.