Malaysia, Indonesia dijangka meterai MoU pembantu rumah bulan depan

Malaysia, Indonesia dijangka meterai MoU pembantu rumah bulan depan

Kedua-dua negara akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa teknikal pada 14 Dis ini di Jakarta untuk mencapai kesepakatan.

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata, Putrajaya akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan aspek pengambilan dan perlindungan pekerja dari negara itu sentiasa terjamin dan kebajikan mereka di Malaysia terpelihara. (Gambar fail)
JAKARTA:
Memorandum persefahaman Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia dijangka dimeterai seawal Januari 2022, kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Beliau berkata, kedua-dua negara akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa teknikal pada 14 Dis ini di sini bagi membolehkan kesepakatan dicapai.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan aspek pengambilan dan perlindungan pekerja warga Indonesia sentiasa terjamin dan kebajikan mereka di Malaysia terpelihara,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya dari Indonesia, Ida Fauziyah.

Beliau berkata, Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk perlindungan pekerja Indonesia di Malaysia dengan langkah terkini adalah pelancaran Pelan Tindakan Nasional dalam membanteras Buruh Paksa 2021-2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Salah satu matlamat strategik dalam pelan tindakan ini adalah berhubung pengurusan migrasi, dengan aktiviti di bawah matlamat strategik itu bertujuan menambah baik tadbir urus dan pengurusan pekerja asing di Malaysia secara keseluruhan.

Kementerian turut melaksanakan program e-Wages dalam masa terdekat bagi memantau pembayaran gaji pekerja serta menambah baik tempat penginapan pekerja, termasuk pekerja asing menerusi pelaksanaan “Centralised Labour Quarters” (CLQ).

Mengenai gaji, Saravanan berkata, aplikasi mobil “Working for Workers” dilancar pada 3 Mei 2021 yang membolehkan semua pekerja, termasuk pekerja asing menyuarakan aduan tanpa perlu hadir secara fizikal ke Pejabat Tenaga Kerja.

“Terdapat 17 kategori aduan yang turut merangkumi indikator buruh paksa ILO,” katanya yang berharap Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan PDI menggunakan sebaiknya medium aduan ini.

Sehingga 5 Okt 2021, jumlah aduan yang diterima dalam aplikasi ini sebanyak 12,132 kes, dengan isu aduan utama adalah tidak dibayar gaji, gaji lewat dibayar serta potongan gaji tidak mengikut undang-undang.

Saravanan turut merakamkan penghargaan atas kerjasama Indonesia dalam bidang perburuhan bagi pengambilan dan penggajian pekerja berskala besar sejak 1984 yang merangkumi sektor perladangan, pertanian dan pekhidmat domestik.

“Malaysia menghargai sumbangan TKI dan PDI kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.