
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, berkata lelaki berusia 45 dan 49 itu masing-masing hadir ke IPD Port Dickson, pada 12.45 tengah hari dan 2.30 petang, semalam, untuk memberi keterangan.
“Kedua-dua lelaki berusia 45 dan 49 tahun dengan seorang daripada mereka berpangkat Datuk hadir ke Balai Trafik sejurus mengetahui aksi mereka dirakam dan ditularkan di media sosial.
“Polis menahan kedua-dua lelaki itu sebaik mereka menyerah diri di Balai Trafik IPD Port Dickson petang semalam,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Katanya, polis turut merampas dua motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan milik individu yang digunakan kedua-dua marsyal berkenaan.
“Polis juga masih menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh terhadap kedua-dua lelaki ini jika wujud lain-lain kesalahan,” katanya.
Kelmarin, dilaporkan individu daripada kumpulan motosikal berkuasa tinggi membuat aksi lagak marsyal di jalan awam selepas rakaman video berdurasi tiga minit tular di media sosial.
Rakaman itu menunjukkan aksi marsyal berkenaan memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi membenarkan sekumpulan motosikal berkuasa tinggi melalui laluan itu.
Berdasarkan rakaman itu, dipercayai konvoi bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson.