
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata, siasatan kes itu kini berada di peringkat akhir dan pihak pendakwa raya bersetuju membuat pertuduhan dalam masa terdekat.
“SPRM sudah buat perbincangan dengan pendakwa raya beberapa kali dan insya-Allah mereka bersetuju dengan beberapa pihak supaya dicadangkan pertuduhan terhadap individu terlibat kes penyelewengan geran MITRA.
“Mungkin dituduh awal tahun depan dan mereka yang akan didakwa melibatkan individu bukan syarikat. Setakat yang saya tahu, tidak kurang sembilan orang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Azam berkata, siasatan membabitkan kes rasuah itu rumit dan memakan masa panjang, justeru siasatan secara berfasa perlu dilaksanakan.
“Syarikat lain kami masih lagi teruskan (siasatan) kerana penyiasatan kita sekarang ini membabitkan banyak syarikat. Kami akan habiskan dulu 10 syarikat.
“Kami ada lagi 17 syarikat sedang disiasat dan kemudian kami teruskan lagi ke syarikat lain seperti saya janjikan dahulu mengenai pembuktian adakah geran yang diberikan kepada syarikat ini dibelanjakan dengan betul atau tidak,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, SPRM meneliti geran peruntukan oleh MITRA yang diberikan kepada 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak 2019 hingga 2021 berjumlah kira-kira RM203 juta.
Siasatan SPRM berhubung pengurusan dana agensi berkenaan kini terbahagi kepada dua fasa, dengan fasa satu terarah kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan NGO yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.
Fasa kedua siasatan pula akan dijalankan menerusi kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara, menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi memperhalusi kesahihan penggunaan geran MITRA, membabitkan peruntukan kurang RM1 juta.
Berdasarkan siasatan terhadap 10 syarikat dalam fasa satu sebelum ini, didapati 80% daripadanya menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi, berbanding tujuan asal, iaitu meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat India.