Hanya 6% daripada lebih 15,000 aduan gangguan dalam talian disiasat

Hanya 6% daripada lebih 15,000 aduan gangguan dalam talian disiasat

Daripada 963 kes itu, hanya 60 telah dibawa ke mahkamah dengan 241 pertuduhan difailkan terhadap pelaku.

Aduan diterima termasuk buli, ancaman dan ugutan, gangguan seksual, serta penyalahgunaan maklumat peribadi, butiran atau gambar individu, menurut KKMM. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hanya menyiasat 963 daripada 15,238 aduan gangguan dalam talian yang dibuat dari 2016 hingga 30 Sept tahun ini.

Ini adalah sebahagian daripada statistik yang didedahkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam jawapan bertulis kepada Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) semalam.

Menurut kementerian itu, 15,238 kes adalah termasuk buli dalam talian, ancaman dan ugutan dalam talian, gangguan seksual, serta penyalahgunaan maklumat peribadi, butiran atau gambar individu bagi tujuan mengaibkan.

Sebanyak 963 kes yang disiasat adalah berkaitan penderaan dalam talian melalui media sosial dan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Daripada 963 kes itu, hanya 60 telah dibawa ke mahkamah dengan 241 pertuduhan difailkan terhadap pelaku.

KKMM berkata, SKMM turut memberi nasihat dan bimbingan kepada mangsa, serta melaporkan kes gangguan dalam talian kepada platform media sosial yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

Kementerian menambah, aduan di luar bidang kuasa SKMM akan dikendalikan oleh pihak berkuasa yang berkaitan dengan bantuan pakar teknikal diberikan kepada mereka oleh suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, kementerian tidak dapat memberikan perincian data yang diminta Nurul Izzah mengenai kaum, jantina dan negeri asal mangsa serta pelaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.