
Yeah Kim Leng dari Sekolah Perniagaan Universiti Sunway berkata, peruntukan RM45 juta untuk program itu menyediakan peluang terbaik kepada perniagaan untuk memindahkan proses perniagaan mereka ke dalam talian dan membolehkan mereka mengurangkan kos selain meluaskan pasaran.
“Mereka boleh kaji semula model perniagaan masing-masing dan teroka peluang perniagaan baharu. Mereka yang tercicir boleh menyesuaikan perniagaan kepada gangguan pandemik dari segi tertib pengeluaran, rantaian bekalan dan pemasaran,” katanya kepada FMT.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 mengumumkan program transformasi untuk PKS dan syarikat bersaiz sederhana dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan, seiring dengan dasar Revolusi Industri 4.0 (RI4.0) dan Industry4wrd.
Menerusi program ini kata Yeah, PKS boleh merumuskan semula strategi masing-masing dan mengamalkan model perniagaan baharu atau aplikasi dalam platform berintegrasi yang boleh menonjolkan perniagaan mereka berbanding pesaing di samping mengurangkan kos.
“Mereka berpotensi melakukan sesuatu dengan lebih baik berbanding pesaing,” kata Yeah.
Setiausaha Agung Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), SH Yeoh, berkata, sebarang dana atau insentif untuk menyokong PKS ke arah RI4.0 harus dialu-alukan.
Beliau menggesa kerajaan supaya menyediakan lebih banyak butiran mengenai program itu, selain menambah, meskipun dana RM45 juta tersebut mungkin tidak mencukupi untuk semua PKS, namun syarikat tidak perlu menunggu kerajaan dalam memulakan langkah mereka ke arah RI4.0.