
Calon baharu PKR Satok itu berkata, pertukaran berkenaan diputuskan Presiden parti Anwar Ibrahim.
PKR sebelum ini mengumumkan Nor Dahlia Esapian Eyau bertanding di DUN berkenaan, namun Irwan muncul pagi ini di pusat penamaan calon (PPC) di Sekolah Kebangsaan Rakyat.
“Dia (Nor Dahlia) sangat baik namun disebabkan masalah teknikal. Bagaimanapun, Presiden kami telah memutuskan perkara ini,” kata Irwan menurut laporan The Borneo Post.
Irwan sebelum ini pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Parlimen Petrajaya namun tewas kepada penyandang, Fadillah Yusof daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Pada PRU14, Irwan mendapat 13,289 undi berbanding Fadillah yang meraih 28,306 undi.
Mengenai isu yang akan diperjuangkan sepanjang kempen PRN kali ini, Irwan berkata, beliau akan memberikan komitmen penuh untuk mengetengahkan keprihatinan rakyat jika diberi peluang berkhidmat di DUN serta memberi semak dan imbang kepada kerajaan negeri.
Pada PRN kali ini, Irwan berdepan Ibrahim Baki daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Awang Badele Awang Ali, yang mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Ketua Menteri Abang Johari Openg yang juga penyandang sembilan penggal sejak 1981 bertanding di DUN Gedong.
Pada PRN lalu, Abang Johari menewaskan calon PKR, Mohammad Salleh Shawkatali dengan majoriti 5,045 undi sekali gus berjaya mempertahankan kerusi itu.