
Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, perkara itu jelas kelihatan lebih-lebih lagi memandangkan dua pemimpin negeri tidak dikenakan tindakan kerana kesalahan sama.
Dalam kenyataan hari ini, beliau memetik kejadian yang berlaku kepada “Pak Din”, seorang warga emas yang baru-baru ini membuat perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu untuk mengambil bahagian dalam “flash mob” bertujuan mengetengahkan isu kenaikan harga barang keperluan.
Raja Kamarul berkata, Pak Din dipanggil polis yang memaklumkan beliau dilihat dalam gambar tidak memakai pelitup muka dengan sempurna ketika menghadiri “flash mob” itu.
“Jika tindakan diambil terhadap Pak Din kerana tidak memakai pelitup muka dengan sempurna, bagaimana dengan Exco Terengganu yang langsung tidak memakainya di tempat awam?” soal beliau.

“Ia dilihat di portal media sosial dan tiada tindakan diambil oleh kerajaan Terengganu. Adakah wujud dua set undang-undang bagi kesalahan sama dengan tindakan tegas terhadap satu pihak manakala satu lagi terlepas?”
Dalam kenyataan itu, Raja Kamarul turut menyertakan gambar Pak Din memakai pelitup muka di dagunya selain tangkap layar dua Exco, Tengku Hassan Tengku Omar dan Azman Ibrahim, yang tidak berpelitup muka di tempat awam.
Hassan mengetuai Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, manakala Azman adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu.