Hujan ‘ujian’ pertama proses penamaan calon DUN Bukit Sari, Ba’kelalan

Hujan ‘ujian’ pertama proses penamaan calon DUN Bukit Sari, Ba’kelalan

Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi.

Setakat jam 8 pagi, hujan gerimis, keadaan dingin dan kabus menyelubungi beberapa kawasan di Pekan Lawas. (Gambar Bernama)
LAWAS:
Hujan lebat berterusan sejak malam tadi sehingga awal pagi ini di Lawas menjadi ‘ujian’ pertama bagi proses penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari dan Ba’Kelalan.

Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi. Bagi DUN Bukit Sari, ia berlangsung di Majlis Daerah Lawas, manakala bagi DUN Ba’kelalan di bangunan lama Majlis Daerah Lawas, yang terletak kira-kira dua kilometer dari Majlis Daerah Lawas.

Setakat jam 8 pagi, hujan gerimis, keadaan dingin dan kabus menyelubungi beberapa kawasan di Pekan Lawas.

Di Majlis Daerah Lawas, petugas media dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama anggota keselamatan dan kesihatan mula berada di situ seawal jam 7 pagi, iaitu dua jam sebelum proses penamaan calon bermula.

Terdapat khemah khas disediakan bagi individu yang didapati bergejala selain semua langkah mencegah penularan Covid-19 dilaksanakan dengan ketat berdasarkan arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

DUN Bukit Sari dijangka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya lima penjuru termasuk penyandang daripada Parti Gabungan Sarawak (GPS) iaitu Timbalan Ketua Menteri Amar Awang Tengah Ali Hasan dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Sementara itu, di DUN Ba’Kelalan diramalkan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru melibatkan penyandang daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon PRN Sarawak sementara pengundian awal dijadualkan berlangsung 14 Dis dan hari mengundi pula pada 18 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.