
Saiful Bahari Baharom, yang juga Ketua Eksekutif Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan, berkata tidak wajar untuk mengharapkan Zafrul akan bertindak berani.
“Jika Perdana Menteri dan Zafrul perkenalkan perubahan atau reformasi yang besar buat masa ini, ini boleh digunakan musuh politik untuk menjatuhkan kerajaan dan ini bertentangan titah Agong yang mahukan kerajaan stabil menuju ke pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam catatan Facebook.
Beliau berkata, tidak adil untuk mengharapkan “perubahan revolusi” kerana kerajaan kekurangan mandat kuat daripada rakyat dan Menteri Kewangan yang juga seorang senator, kurang sokongan politik seperti yang diraih pendahulunya.
Baru-baru ini, beberapa pakar ekonomi memberi respons hambar terhadap prestasi Kementerian Kewangan untuk beberapa bulan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dengan membidas Bajet 2022 kurang inovasi serta langkah meneruskan dasar sedia ada mengecewakan.
Saiful berkata, petunjuk prestasi utama (KPI) terbesar bagi Zafrul adalah memastikan defisit bajet kerajaan tidak terlalu luas dan mengimbangi perbelanjaan meningkat akibat pandemik dengan aliran masuk pendapatan Perbendaharaan.

“Itu yang patut para pengulas fokuskan perhatian, bukannya merombak dan melakukan reformasi.”
Dalam pada itu, Juita Mohamad dari badan pemikir Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa berkata, Belanjawan 2022 mempunyai keutamaan yang betul.
“Kementerian mengumumkan dua bajet terbesar dalam dua tahun lalu untuk memerangi kesan negatif pandemik dan sekatan pergerakan. Saya berpendapat bajet terbaru menekankan pemulihan dan keterangkuman untuk tahun depan.”
Katanya, kerajaan perlu terus mengkaji penyampaian bantuannya untuk memastikan sasaran dan pengagihannya dapat ditambah baik lagi.
Merujuk kenyataan Zafrul terdahulu berhubung keperluan menutup kebocoran dana kerajaan, beliau berharap menteri itu akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai tugas kementeriannya bagi tujuan itu.