Pasangan kekasih ditahan cuba seludup mercun, makanan dari seberang

Pasangan kekasih ditahan cuba seludup mercun, makanan dari seberang

Kedua-duanya yang berusia 36 dan 40 tahun ditahan dalam Op Benteng Covid, kata Penolong Pegawai Pemerintah PGA8 K Ramesh.

PGA8 merampas 70 guni dan 23 kotak mengandungi pelbagai mercun, 3,240 kotak mi segera dan 40 kotak serbuk teh buatan negara jiran dalam serbuan itu. (Gambar PGA8)
PASIR MAS:
Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) menahan sepasang kekasih berstatus duda dan janda dipercayai cuba menyeludup masuk mercun dan barangan makanan dari Thailand, di Kampung Lubok Chekok, Banggol Chicha, di sini, malam tadi.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA8 K Ramesh berkata kedua-duanya yang berusia 36 dan 40 tahun ditahan sepasukan anggota PGA yang menjalankan Op Benteng Covid dalam serbuan pada 10 malam.

“Terdahulu, anggota PGA8 telah terserempak dengan sebuah lori di dalam semak dan apabila dihampiri didapati seorang lelaki sedang menyusun kotak di bahagian belakang lori manakala seorang wanita di kerusi penumpang hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan kemudian menemukan 70 guni dan 23 kotak mengandungi pelbagai mercun, 3,240 kotak mi segera dan 40 kotak serbuk teh buatan negara jiran tersebut.

Ramesh berkata pasangan itu, dan keseluruhan barangan rampasan dianggar bernilai RM329,860 termasuk lori, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk pemeriksaan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.