MADA tingkat pengeluaran tanaman kontan, imbangi kenaikan harga sayur

MADA tingkat pengeluaran tanaman kontan, imbangi kenaikan harga sayur

Langkah itu dilaksanakan melalui Projek Tanaman Kontan B40 dan Program Pemerkasaan Ekonomi Golongan B40 Usahawan Agro yang bermula Mac tahun ini.

Projek itu bertujuan menambah pengeluaran tanaman kontan, sayur dan rempah ratus dalam usaha meningkatkan pendapatan petani, dengan tumpuan terhadap golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM4,850 setahun, kata Pengerusi MADA Ahmad Tarmizi Sulaiman.
YAN:
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengambil langkah meningkatkan pengeluaran tanaman kontan dalam usaha untuk membantu mengimbangi kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran.

Pengerusi MADA Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata langkah tersebut dilaksanakan melalui dua projek iaitu Projek Tanaman Kontan B40 dan Program Pemerkasaan Ekonomi Golongan B40 Usahawan Agro yang dijalankan bermula Mac tahun ini.

“Projek ini bertujuan untuk menambah pengeluaran tanaman kontan, sayur-sayuran dan rempah ratus dalam usaha meningkatkan pendapatan petani dengan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM4,850 setahun.

“Peningkatan pengeluaran hasil tanaman kontan ini, MADA turut berharap ia mampu mengimbangi kenaikan harga sayur-sayuran dan sekali gus dapat membela nasib peladang yang juga merupakan pengguna,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin MADA di Permatang Buloh dekat sini.

Ahmad Tarmizi berkata, bagi tahun 2021 dan 2022, MADA telah memperuntukkan RM4.84 juta yang melibatkan 378 peserta untuk meningkatkan projek tanaman kontan dengan menambah jenis tanaman.

“Tambahan jenis tanaman itu antaranya cili, timun, halia, jagung dan lain-lain lagi. Pada 2021, seramai 264 peserta di dalam program ini telah berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 205.6 tan dengan nilai lebih RM1 juta dan sasaran seramai 250 lagi peserta akan menyertai program ini tahun hadapan.

“Projek ini juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta dapat melahirkan lebih ramai usahawan baharu dalam industri tanaman kontan dan ia memberi tumpuan kepada usahawan sedia ada dan peladang yang terlibat dalam rantaian industri padi,” katanya.

Katanya, program ini diharapkan dapat membantu menambah jumlah pengeluaran sayur-sayuran sekali gus dapat membantu menstabilkan harga sayur yang mahal berikutan permintaan yang tinggi pada masa ini.

Terdahulu, pada majlis penyerahan berkenaan, sebanyak 100 bakul makanan telah diserahkan kepada peserta MADA yang pernah dijangkiti Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.