Pemegang jawatan tak layak enggan berundur, ahli NUTP khuatir

Pemegang jawatan tak layak enggan berundur, ahli NUTP khuatir

Ia dibimbangi akan ada implikasi kepada kesatuan itu dan kewangannya.

NUTP menerima sumbangan ahli sehingga RM3 juta sebulan secara keseluruhan, menurut sumber.
PETALING JAYA:
Timbul desas-desus dalam salah sebuah kesatuan sekerja terbesar di negara ini mengenai hak beberapa individu menyandang jawatan mereka.

Menurut sumber yang enggan dinamakan, kebanyakan pemegang jawatan di peringkat kebangsaan dalam Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menduduki gred atas DG48 dalam perkhidmatan awam.

Bawah perlembagaan NUTP, pemegang jawatan hendaklah menduduki gred bawah DG48 dan tidak boleh memegang jawatan pentadbiran di sekolah, jabatan pendidikan daerah atau negeri, mahupun Kementerian Pendidikan (KPM).

Mengikut Akta Kesatuan Sekerja dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), pemegang jawatan yang turut memegang jawatan pentadbiran mesti melepaskan jawatan mereka.

Namun, sumber mendakwa, pemegang jawatan yang tidak berkelayakan ini enggan berundur.

“Beberapa kali mereka cuba merayu,” katanya.

“Rayuan ini ditolak dan mereka kemudian diminta oleh KSN dan JHEKS untuk melepaskan jawatan.”

Katanya, ramai ahli kesatuan bertanya mengapa pemegang jawatan ini enggan mematuhi undang-undang, dan mereka bimbang mengenai implikasi kepada kesatuan dan kewangannya.

Setiap ahli menyumbang RM10 sebulan kepada NUTP melalui potongan yang dibuat menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA).

“Ini berjumlah RM3 juta sebulan, wang yang banyak,” kata sumber itu.

“Kenapa pegawai-pegawai ini masih menandatangani cek di peringkat cawangan dan ibu pejabat sedangkan mereka telah diminta berundur?

“JHEKS sedang meneliti perkara ini, tetapi apa yang kita mahu adalah Ketua Pengarah bertindak. NUTP adalah kesatuan guru yang sepatutnya menjadi contoh.”

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan enggan mengulas perkara itu.

FMT juga sedang cuba mendapatkan komen daripada Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Ketua Pengarah JHEKS Kamal Pardi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.