
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan berapa ramai pelajar sekolah itu yang dijangkiti, di mana cetusan jangkitan tidak menyebabkan sekolah ditutup.
Kes Covid-19 di sekolah agama itu difahamkan daripada kluster Batu 20 Selekoh yang mencatatkan dua kes baharu setakat semalam, menjadikan keseluruhan 12 kes positif dikesan untuk kluster itu, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Perak.
“Memang ada berlaku jangkitan kepada pelajar sekolah, terutama sekali berasrama penuh. Tetapi mereka yang dijangkiti itu sudah diasingkan atau dikuarantin di asrama berasingan, sekali gus jangkitan tidak menular ke luar.
“Jadi, di Perak tiada sekolah ditutup setakat ini. Sekolah yang terbabit masih dibuka, tetapi pelajar yang berkenaan dikuarantin di asrama berasingan,” katanya dipetik Harian Metro selepas merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak di Hotel Casuarina, Meru di Ipoh hari ini.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan kes positif Covid-19 membabitkan pelajar itu dikesan di sebuah sekolah menengah berasrama di Bagan Datuk.
Saarani berkata, pihaknya belum mendapat angka rasmi jangkitan Covid-19 membabitkan sekolah setakat ini kerana ada sekolah yang tidak berada di bawah penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pendidikan (KPM).
“Situasi sekarang, ada dua sekolah. Satu di bawah JPN yang hanya ambil maklum berkaitan sekolah di bawah KPM dan satu lagi sekolah (MRSM Sultan Azlan Shah) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA). Jadi, ada dua sumber berbeza yang kita kena dapatkan,” katanya.
Pada 2 Dis, enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar dikesan positif Covid-19.