Sistem dalam talian cetus pemerdagangan pekerja domestik, kata aktivis

Sistem dalam talian cetus pemerdagangan pekerja domestik, kata aktivis

Tiada langkah saringan menyeluruh bagi mereka yang menggunakannya, kata Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira.

Ejen haram mengambil kesempatan ke atas Maid Online dengan menyeludup masuk pekerja sebagai pelancong bagi mendapatkan keuntungan segera, kata Alex Ong daripada Migrant CARE.
PETALING JAYA:
Sistem permohonan pembantu rumah asing (Maid Online), yang dimulakan pada 2018, telah meningkatkan aktiviti pemerdagangan manusia dan eksploitasi pekerja domestik di Malaysia, kata aktivis hak asasi manusia.

Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata, tiada langkah saringan menyeluruh bagi mereka yang menggunakan sistem dalam talian itu.

“Ia mengetepikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Pereira menegaskan bahawa sesetengah negara seperti Indonesia tidak mengiktiraf sistem dalam talian kerana ia tidak mematuhi undang-undang mereka.

Maid Online diwujudkan bawah pentadbiran Najib Razak dan boleh digunakan oleh majikan bagi mendapatkan pekerja asing secara langsung dan meminimumkan birokrasi.

Wakil Migrant CARE negara, Alex Ong berkata, proses pengambilan secara langsung melalui sistem itu membolehkan ejen haram memintas prosedur proses migrasi di Malaysia.

“(Ejen haram) menyeludup masuk pembantu rumah sebagai pelancong dan melakukan penempatan tidak berlesen bagi meraih keuntungan segera,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, dasar lebih telus dan sistem dalam talian yang lebih terkawal diperlukan bagi mengurangkan eksploitasi dan pemerdagangan pekerja domestik.

“Kerajaan juga harus mengambil tindakan terhadap agensi yang mengenakan bayaran tinggi kepada bakal majikan yang mendorong mereka mengambil langkah yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Di Parlimen Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok turut berkata, akibat sistem dalam talian itu, pemerdagangan manusia dan eksploitasi pekerja domestik berleluasa.

Beliau berkata, pembantu rumah ini tidak diberikan kontrak rasmi dan hak serta kebajikan mereka tidak terjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.