
Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, ia susulan ketetapan yang melarang sebarang aktiviti berkumpul diadakan sepanjang hari berkenaan.
“Hanya calon, pencadang dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC). Penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC.
“Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan, hari ini, menurut laporan Harian Metro.
Menurutnya, SPR juga akan memudahkan proses penamaan itu dengan meminta bakal calon mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat PRN Sarawak sebelum hari penamaan calon.
Katanya, bakal calon disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan sebagai bukti bayaran.
“Ini adalah untuk memastikan proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.
Selain itu, Ikmalrudin berkata, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di 82 PPC.
“Kita ingin mengingatkan calon yang mewakili mana-mana parti politik bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas penamaan calon.
“SPR berharap proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.