
Mendedahkan perkara itu, Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, faktor kemungkinan itu berdasarkan keputusan negatif ujian saringan yang dilakukan ke atas 95 pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima pada 23 Nov lalu.
Walaubagaimanapun, beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan punca jangkitan, namun setakat ini seorang pelajar sahaja dikesan positif dan dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi sekolah berasrama termasuk SBPI Selandar telah menetapkan semua pelajar mesti menjalani ujian RTK pertama, kedua dan ketiga, bagaimanapun hasil keputusan mendapati semuanya negatif.
“Bagaimanapun, terdapat seorang pelajar Tingkatan Lima menunjukkan gejala bermula 23 Nov ujian RTK dan PCR kali pertama juga negatif,” katanya menurut laporan Melaka Hari Ini.
Akmal berkata, simptom jangkitan ditunjukkan remaja itu berterusan sehingga ujian PCR kali kedua dibuat pada 30 Nov lalu dan hasil ujian mendapati dia positif Covid-19 sebelum dihantar menjalani kuarantin di PKRC MITC, Ayer Keroh.