Kawal harga untuk elak tekanan berhubung gaji minimum, majikan beritahu kerajaan

Kawal harga untuk elak tekanan berhubung gaji minimum, majikan beritahu kerajaan

Kenaikan gaji semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi rakyat, kata MEF.

MEF menyarankan agar kerajaan mewujudkan struktur kawalan kos bagi memantau kenaikan harga di seluruh negara.
PETALING JAYA:
Bagi mengelak tekanan berhubung tahap gaji minimum, kerajaan harus mengawal harga barangan dan perkhidmatan, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata, kenaikan gaji semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi rakyat.

Ramai yang meluahkan keluhan di media sosial susulan kenaikan harga sayuran baru-baru ini.

Seorang pengguna Twitter berkata, harga barangan keperluan asas semakin naik, namun isu gaji minimum masih belum selesai.

Seorang pengguna lain berkata, seseorang yang memperoleh gaji minimum RM1,200 sebulan perlu bekerja dua jam dan lapan minit hanya untuk membeli 1kg kubis.

Bagaimanapun Syed Hussain berkata, tidak praktikal untuk menyemak semula gaji minimum semata-semata kerana kos produk dan perkhidmatan meningkat.

Katanya, kerajaan juga mesti mewujudkan struktur kawalan kos seperti Majlis Kawalan Kos bagi memantau kenaikan harga di seluruh negara.

Menurut MEF, kos meningkat lebih cepat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan tiada langkah serius diambil untuk mengekangnya.

Syed Hussain berkata, kerajaan mesti terlebih dahulu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan produktiviti lebih tinggi bagi mengelak kesan negatif akibat kenaikan kos gaji yang boleh menjejaskan perniagaan.

“Tanpa pertumbuhan produktiviti dan keluaran nilai tambah yang lebih tinggi, majikan tidak mungkin dapat menyerap kos untuk membayar gaji sara hidup,” katanya kepada FMT.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kongres berkenaan sebelum ini mengusulkan kerajaan meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500.

Effendy juga berkata, kenaikan gaji boleh dibincangkan dalam kalangan majikan.

Katanya, kerajaan perlu melakukan lebih banyak pemeriksaan ke atas kenaikan harga, sambil menambah, tidak masuk akal brokoli dijual dengan harga mencecah RM20 sekilogram.

Beliau menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal selia pemeriksaan harga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.