Hujan berterusan punca tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley

Hujan berterusan punca tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley

Timbalan Penolong Pengarah JKR Perak, berkata kadar taburan hujan sebanyak 217ml dikesan selama dua minggu.

Jabatan Kerja Raya menjalankan kerja pembersihan dan meratakan runtuhan tanah di Seksyen 27 FT 185, KM27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Ipoh, hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Punca kejadian tanah runtuh di KM27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Ipoh, yang mengorbankan dua mangsa semalam adalah akibat hujan berterusan.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Hamdan Ali berkata, kadar taburan hujan agak tinggi, iaitu 217ml dikesan selama dua minggu.

“Hasil pemeriksaan kami mendapati ia adalah runtuhan besar membabitkan lebih 10,000m kiub tanah,” katanya dipetik Bernama ketika meninjau lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan terbabit.

“Keadaan cerun itu sebahagian stabil dan sebahagian lagi tidak stabil, jadi kami masih dalam kajian keadaan cerun ketika ini. Panjang cerun yang terjejas kira-kira 100m,” katanya selain menambah bahawa laluan itu dijangka dibuka semula 9 Dis ini selepas kerja pembersihan selesai dan jika keadaan cuaca mengizinkan.

Beliau berkata, pusat pemantauan cerun di Seksyen 44 di Ipoh mendapati keadaan stabil dan pemantauan cerun dilakukan di tiga lokasi antara Seksyen 38 hingga Seksyen 48.

“Setakat ini, pemantauan yang dijalankan di lokasi lain bersama pihak konsesi mendapati terdapat runtuhan kecil di dua lokasi, tapi tidak kritikal dan laluan masih boleh dilalui.”

Semalam, dua individu dilaporkan maut selepas kenderaan mereka tertimbus dalam runtuhan itu. Mayat pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, sudah dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dalam sidang media berasingan, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Muhamad Shahrizal Aris berkata, pihaknya menggunakan dua anjing pengesan bagi mengesan jika masih ada mangsa lain yang tertimbus di bawah runtuhan tanah semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu pihak JKR melakukan kerja pembersihan di lokasi kejadian bagi meneruskan operasi pencarian.

“Kami mungkin menggerakkan operasi sebanyak dua kali, yang pertama sekiranya keputusan negatif, kami akan membuat kerja pembersihan sekali lagi dan sekiranya pengesahan kali kedua menunjukkan negatif (tiada mangsa), kami akan membuat keputusan sama ada teruskan atau tamatkan operasi ini.”

Sehingga kini katanya, tiada petunjuk terdapat mangsa lain dalam kejadian tanah runtuh semalam dan pihaknya menunggu saranan Jabatan Meteorologi dan Geosains (JMG) untuk mengesahkan tahap bahaya lokasi runtuhan bagi memutuskan sama ada kerja pembersihan akan diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.