Lebih baik beri hadiah kepada pemain daripada umum cuti, Kok beritahu Shahidan

Lebih baik beri hadiah kepada pemain daripada umum cuti, Kok beritahu Shahidan

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata tindakan mengumumkan cuti peristiwa tidak sesuai kerana bukan semua orang peminat sukan bola sepak.

Teresa Kok berkata, beliau bersetuju jika Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim memberi ganjaran kepada pemain selepas berpuluh tahun tidak memenangi Piala Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Teresa Kok (PH-Seputeh) berpandangan memberi ganjaran hadiah kepada pemain pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) lebih berkesan sebagai galakan daripada cuti khas peristiwa yang menjadi rungutan pelbagai pihak.

Katanya, walaupun bukan peminat bola sepak tetapi beliau bersetuju jika Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim memberi ganjaran kepada pemain selepas berpuluh tahun berusaha untuk memenangi Piala Malaysia.

“Kalau menteri nak beri hadiah kepada pemain bola sepak yang menang piala itu, bagilah. Bagi RM1 juta satu orang teruskanlah tetapi jangan umumkan cuti umum secara tiba-tiba esok kerana bukan semua orang peminat bola sepak.

“Bukan semua orang perlu cuti seperti itu,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Wilayah Persekutuan di Dewan Rakyat.

Semalam, Shahidan mengumumkan Wilayah Persekutuan akan diberikan cuti khas peristiwa esok sempena kejayaan KL City menjuarai Piala Malaysia selepas menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0, Selasa lalu.

Shahidan berkata, pemberian cuti khas adalah sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong yang memberikan sepenuh komitmen dan sokongan kepada KL City dalam mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Cuti khas itu, katanya membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Bagaimanapun, pengumuman cuti itu mendapat kritikan beberapa pihak.

Dalam pada itu, Kok berkata, pengumuman itu menjejaskan beberapa pihak seperti sekolah dan syarikat serta bank yang tergendala urusan mereka.

“Ada sekolah tidak dapat buka, ada yang tengah belajar hadapi peperiksaan. Tiba-tiba umum, mungkin sudah aturkan dalam kilang atau ‘business appointment’ dan semua kena batal. Nasib tidak ada sidang Parlimen hari Jumaat. Kalau tak terpaksa dibatalkan,” katanya.

Kok juga menggesa Shahidan lebih berhati-hati dalam mengumumkan cuti peristiwa selepas ini dan berbincang dengan pihak berkepentingan dulu sebelum membuat keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.