Ahli Parlimen bidas pemberian cuti khas Wilayah Persekutuan esok

Ahli Parlimen bidas pemberian cuti khas Wilayah Persekutuan esok

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata pengumuman secara tiba-tiba itu boleh mengganggu aspek ekonomi dan sosial bagi kebanyakan pihak.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan kenyataan ia tetap dibuka seperti biasa termasuk semua bank pada Jumaat.
PETALING JAYA:
Langkah mengisytiharkan cuti khas peristiwa di Wilayah Persekutuan esok adalah tindakan tidak bertanggungjawab, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.

Dalam kenyataan, Ahli Parlimen DAP itu berkata, pengumuman secara tiba-tiba oleh Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim semalam boleh mengganggu aspek ekonomi dan sosial bagi kebanyakan pihak.

“Cuti yang tidak dijangka ini akan menyebabkan banyak syarikat kerugian berjuta ringgit dalam bentuk kehilangan pengeluaran yang tidak dirancang,” katanya.

Ong berkata, perniagaan yang menjalankan transaksi dengan pejabat kerajaan terpaksa menangguhkan transaksi itu minggu depan dan ini akan menyebabkan kerugian masa dan produktiviti.

Ong Kian Ming.

Katanya, dari segi sosial, ia juga mengganggu ibu bapa yang tinggal di Kuala Lumpur tetapi bekerja di Selangor.

“Mereka terpaksa membuat penyusunan jadual secara tiba-tiba untuk anak yang tidak ke sekolah,” katanya.

Shahidan mengumumkan pemberian cuti di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selepas KL City FC berjaya menjuarai Piala Malaysia 2021 malam Selasa lalu, sekali gus menamatkan kemarau selama 32 tahun.

Terdahulu, Bursa Malaysia mengumumkan penutupannya dan anak syarikat esok sempena cuti khas itu dan operasi dibuka semula pada Isnin ini.

Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengeluarkan kenyataan bahawa ia tetap dibuka seperti biasa termasuk semua bank.

“BNM dan semua bank termasuk cawangan di Kuala Lumpur akan dibuka dan beroperasi seperti biasa pada Jumaat, 3 Dis. Urus niaga pertukaran wang asing, urusan kewangan dan pasaran bon melalui kaunter masih berjalan seperti biasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.