
Katanya, situasi itu disebabkan kos yang ditanggung di pelbagai peringkat rantaian bekalan sebelum sampai kepada peniaga.
“Memang benar harga barangan keperluan naik ketika ini. Kenaikan ini bukan berpunca daripada peniaga dan pemborong. Saya lihat ia berpunca daripada rantaian bekalan.
“Sebagai contoh harga ayam. Penternak ada kos, kilang ada kos, pemborong ada kos. Jadi, bila sampai kepada peniaga, harga sudah tinggi,” katanya dipetik Bernama selepas meninjau harga barang keperluan di MyFarm Outlet Kasih di Putrajaya hari ini.
“Peningkatan harga ayam di pasaran sehingga RM9.80 sekilogram adalah di luar kebiasaan, walaupun sebelum ini pernah cecah lebih RM10 sekilogram, tetapi jarang berlaku, biasanya harga ayam sekilogram antara RM7 dan RM8.”
Susulan itu Ismail berkata, kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.
Katanya, 200 kontena bekalan ayam sejuk beku import itu dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya minggu depan.
Bagi bekalan ikan segar pula, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menghentikan sementara eksport ikan bagi memastikan bekalan itu mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga munasabah untuk pasaran tempatan.
“Kalau boleh, kita hentikan sementara eksport ikan ke luar negara kerana yang penting ketika ini adalah rakyat. Kita tidak mahu rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barangan keperluan, khususnya barang basah.”
Katanya, kaedah itu pernah dilaksanakan pada 2013 ketika beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan bekalan ikan segar tempatan mencukupi dan dijual pada harga berpatutan.
Pada masa sama, beliau meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mencari penyelesaian terhadap situasi itu.
“Dalam masa sama, kita (kerajaan) kena lihat isu penglibatan orang tengah secara serius.”