
Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Lazim berkata, setakat ini 8,733 anggota menerima suntik dos penggalak manakala 106,352 anggota masih menunggu giliran temu janji mereka.
“Kami sentiasa memberi galakan penuh kepada semua pegawai dan anggota untuk menerima suntikan dos penggalak dan yakin sasaran 100% penerima dos penggalak akan dicapai dalam kalangan warga PDRM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Asnaf PDRM dan Pesara Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini semalam.
Mazlan berkata, setakat ini tiada sebarang isu anggota polis menolak untuk divaksin, namun pihaknya tidak memaksa jika anggota yang mempunyai masalah kesihatan yang diberi pengecualian oleh doktor.
Terdahulu, beliau yang hadir dalam lawatan kerjanya turut menyampaikan sumbangan daripada Tabung Wakalah Zakat PDRM Bukit Aman berupa barangan keperluan asas dan sejumlah wang tunai kepada 40 asnaf PDRM dan pesara polis di Kontinjen Pulau Pinang yang layak berdasarkan syarat ditetapkan.
Sementara itu, Mazlan berkata, Pulau Pinang bakal mendapat bangunan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang baharu di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta.
Katanya, projek baharu IPK dan 200 unit kediaman itu dicadangkan akan dibina di Lot 9014, 9015 dan 4384 Sungai Dua di daerah Timur Laut Pulau Pinang.
“Saya mendapat tahu bahawa ia kini dalam proses ditender oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Jadi dengan adanya bangunan IPK yang baharu ini, kita harap warga PDRM negeri ini dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Antara kemudahan lain yang turut dibina termasuklah bangunan pentadbiran, lokap, bangunan Cawangan Khas, lapang sasar tertutup, kantin, auditorium serta kuarters kelas E sebanyak 50 unit dan kelas F sebanyak 150 unit.