Kerajaan sayang nyawa rakyat, tak semberono bawa masuk pekerja asing, kata Hamzah

Kerajaan sayang nyawa rakyat, tak semberono bawa masuk pekerja asing, kata Hamzah

Menteri Dalam Negeri itu berkata, kerajaan perlu membuat persediaan rapi sebelum membenarkan pekerja asing masuk ke negara ini.

Hamzah Zainudin berkata, pengambilan pekerja asing perlu melalui proses ketat dengan mengambil kira tahap keselamatan dan tempat asal individu yang hendak dibawa masuk susulan pengesanan varian baharu Omicron. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin membidas Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang menyalahkan beliau sebagai punca kenaikan harga barangan asas dengan berkata, kerajaan tidak mahu bertindak semberono tanpa memikirkan keselamatan rakyat susulan pengesanan varian baharu Omicron.

Hamzah merujuk kenyataan Ngeh semalam yang menuding jari ke arah beliau dan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan sebagai punca utama kekurangan sumber tenaga kerja asing yang menyebabkan harga sayur dan barangan asas lain naik dua kali ganda.

Hamzah mempersoalkan Ahli Parlimen DAP itu sama ada beliau sanggup dipersalahkan jika varian Omicron menular dalam negara ekoran kelemahan kerajaan mengendalikan kemasukan pekerja asing.

“Kalau mereka nak tuduh lambat bawa masuk (pekerja asing), cuba kita fikirkan yang kita nak bawa masuk ni ramai…kita nak pastikan, nak jaga keselamatan, bukan hanya dari segi perundangan atau keselamatan sahaja, tetapi membabitkan keselamatan kesihatan.

“Betul kita nak bantu sektor ekonomi, tetapi apa akan jadi kalau minggu depan varian Omicron yang belum kita pasti (tahapnya) dibawa oleh orang luar yang masuk, siapa yang kita nak salahkan?

“Adakah MP (Ahli Parlimen) Beruas yang memperjuangkan orang luar masuk ataupun saya yang akan dipersalahkan nanti?” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Imigresen 2021.

Hamzah berkata, memandangkan pintu sempadan negara belum dibuka kepada warga asing, sebarang pengambilan pekerja asing perlu melalui proses ketat dengan mengambil kira tahap keselamatan dan tempat asal individu yang hendak dibawa masuk itu.

“Kalau kita rasa semua dah selamat, dah vaksin (Covid-19) cukup, mereka perlu dibawa masuk menggunakan penerbangan khas kerana tidak boleh bercampur dengan orang lain.

“Bila bercakap pasal kesihatan, pemilihan mereka yang ingin dibawa masuk itu juga datang dari kampung mana? Kalau ‘red zone’ di negara mereka, bagaimana kita nak buat? Sebab itu kita kena berhati-hati. Sebab saya dan menteri lain yang terlibat dalam isu ini sayangkan rakyat Malaysia lebih daripada MP Beruas.

“Ini adalah sesuatu yang memerlukan persediaan rapi, tak bolehlah buat kerja macam Ahli Parlimen Beruas, hentam kromo sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.