
Ketua Pengarah Kastam Abdul Latif Abdul Kadir, berkata kejayaan itu hasil risikan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat bersama-sama pasukan daripada Bahagian Penguatkuasaan dan Unit Narkotik Kastam Johor pada 17 November lalu.
Menurutnya, Kastam membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Inspection Bay, Wisma Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor pada jam 9.35 pagi.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kontena itu mengandungi tujuh palet yang keseluruhannya berisi 278 guni putih.
“Pembongkaran ke atas guni putih itu menjumpai sebanyak 300 bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki methamphetamine dengan anggaran berat kasar 304.99 kg,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Abdul Latif berkata, susulan daripada penemuan itu, pihaknya menahan dua suspek yang disyaki terbabit dalam urusan pelepasan kastam ke atas kontena berisi dadah.
“Kastam juga masih mengesan beberapa orang lagi bagi membantu siasatan. Modus operandi sindiket ialah mengikrarkan dagangan sebagai ‘chopped e glass fibreglass’ dalam Borang Kastam No 2 (Borang Eksport) untuk dihantar ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan nama syarikat dan identiti pengirim yang palsu untuk penyediaan dokumen eksport.
“Siasatan juga mendapati kontena berisi dadah ini berlepas dari Pelabuhan Barat, Klang, Selangor pada 25 Oktober lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.