Sumber penjagaan kesihatan mental di luar jangkauan B40, kata pakar

Sumber penjagaan kesihatan mental di luar jangkauan B40, kata pakar

Peralihan lingkungan pendapatan akibat wabak menjadikan sumber penjagaan kesihatan mental lebih sukar dicapai.

Satu kaji selidik di peringkat kebangsaan mendapati 79% individu yang mengalami kemurungan adalah daripada kumpulan B40.
PETALING JAYA:
Komuniti B40 yang berpendapatan rendah tidak mampu mendapatkan sokongan kesihatan mental, walaupun ia antara kumpulan terbesar yang menderita masalah berkaitannya, kata pakar.
Vinorra Shaker.

“Wabak telah mengubah lingkungan pendapatan dengan ketara, terutamanya dalam kalangan populasi bandar dan ini menjadikan sumber penjagaan kesihatan mental kurang mampu dimiliki,” kata Vinorra Shaker, pensyarah dan ketua program psikologi di Kolej Universiti Veritas.

Memetik kaji selidik kesihatan dan morbiditi negara 2019, beliau berkata, 79% rakyat Malaysia yang mengalami kemurungan adalah daripada komuniti B40 dengan kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental tertinggi, iaitu 8.8%.

Beliau menggesa kerajaan supaya menyediakan dermasiswa dan bantuan kewangan untuk pengamal profesional kesihatan mental bagi membantu kumpulan B40 menguruskan kemurungan, sekali gus mengurangkan risiko bunuh diri dalam komuniti berkenaan.

Chua Sook Ning.

Pakar psikologi klinikal dan pengasas Relate Malaysia, Chua Sook Ning, mencadangkan penilaian keperluan yang komprehensif untuk menangani jurang pengetahuan dan perkhidmatan dalam komuniti ini.

“Ini akan membantu mereka membentuk sistem yang lebih cekap dan berkesan bagi memenuhi pelbagai keperluan sebenar kumpulan B40,” katanya.

Sharrada Segeran.

Pengarah Mind Matters Network Malaysia Sharrada Segeran menegaskan bahawa permintaan untuk rawatan adalah lebih besar daripada bilangan pengamal profesional kesihatan mental sedia ada.

“Model penjagaan baharu perlu diterapkan ke dalam sistem penjagaan kesihatan mental, terutamanya untuk merawat golongan belia yang kurang bernasib baik,” katanya.

“Kerajaan harus menyediakan guru dengan latihan pertolongan cemas psikologi bagi membolehkan mereka mengenal pasti dan merujukkan belia kepada pengamal profesional kesihatan mental untuk penilaian lanjut jika perlu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.