Operasi sekolah dijangka jadi tumpuan Dewan Rakyat

Operasi sekolah dijangka jadi tumpuan Dewan Rakyat

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu diajukan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) kepada Menteri Pendidikan.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini.
KUALA LUMPUR:
Perkembangan terkini operasi sekolah di seluruh negara sejak pembukaannya secara berperingkat dijangka dipersoalkan dalam Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu diajukan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) kepada Menteri Pendidikan dengan bertanyakan mengenai penerimaan guru, murid dan ibu bapa secara umum mengenai pembukaan sekolah.

Turut terkandung dalam sesi itu ialah soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai tindakan kerajaan untuk menurunkan harga barangan dan punca pihak berkuasa gagal berdepan ledakan harga kini.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika sesi soal jawab lisan mengenai inisiatif dan pertimbangan kementerian menyediakan skim insurans sebagai bantuan kewangan kepada warga emas bagi menampung kos sara hidup mereka pada masa hadapan.

Selepas sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diikuti Kementerian Kerja Raya.

Semalam, sesi perbahasan peringkat jawatankuasa melibatkan Kementerian Belia dan Sukan dengan Dewan Rakyat meluluskan peruntukan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebanyak RM622,025,400 dan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,120,915,300 yang diperuntukkan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam Bajet 2022 yang diluluskan dengan lebih suara menyokong.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.