
Preetha Nadarajah, Ketua Penyelesaian Jualan E2E Nokia, Asia Tenggara berkata, rangkaian 5G berupaya menangani cabaran dan merapatkan jurang di bahagian yang amat diperlukan.
“Salah satu cabaran penting yang dapat dikurangkan ialah pengagihan ubat-ubatan di kawasan luar bandar. Bayangkan anda tidak perlu lagi keluar ke bandar besar hanya untuk mengambil ubat yang diperlukan untuk pesakit, sebaliknya boleh dihantar dalam kotak berkunci yang bersepadu.
“Kotak berkunci ini akan ditetapkan dengan ciri-ciri kawalan suhu untuk mengawasi ubat di dalamnya. Ini boleh dilakukan menerusi 5G,” katanya pada persidangan 5G Tech 2021 hari ini.
Preetha berkata, pusat data di pinggir jaringan juga perlu dipertingkatkan dan ini boleh ditambah baik oleh penyedia laman web.
“Ini sama ada boleh menjadi pemula atau usaha untuk meningkatkannya, jadi ia mewujudkan situasi menang-menang bukan hanya kepada pesakit tetapi dari segi kebolehpasaran juga.
“Kita menjangkakan 5G dapat merapatkan jurang dan memperkenalkan pemain baharu yang akan mengambil peranan ini sambil memacu pasaran ke hadapan. Ia akan menjadi norma bagi setiap industri untuk memanfaatkan rangkaian ini,” katanya.
Dari segi kos Preetha berkata, berdasarkan penggunaan dan permintaan, kos 5G akan meningkat secara perlahan-lahan.
“5G akan mengupayakan aspek komersial dengan negara berdaya saing akan menyediakan model permukaan yang tersedia untuk disertai pemain. Ini supaya mereka boleh mengambil sedikit pendekatan ke arah 5G.
“Lebih baik untuk mengambil permulaan dengan langkah lebih kecil daripada menggunakan model perbelanjaan modal (capex) langsung dengan industri membeli peralatan 5G dan tidak boleh menggunakannya,” katanya.
Katanya, pandemik Covid-19 telah mempercepatkan daya tarikan terhadap teleperubatan dan dengan 5G negara boleh menjangkakan bentuk komunikasi dan pendigitalan yang lebih berhubungan, bijak serta cekap.