
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Alexander Nanta Linggi berhubung isu itu.
“Saya hargai menteri jawab (ada) pelan itu, ini. Masalahnya sekarang mesti ada satu langkah tindakan segera. Speaker kena beri kelonggaran ini, biar menteri bagi penegasan…bukan perancangan sebulan lagi, dua bulan lagi.
“Sekarang…hari ini. Kita nak tahu, apa langkah, bukan sahaja kementerian (ini) tapi seluruh kerajaan (untuk) selesaikan masalah ini. Ini krisis nasional,” katanya.
Sebelum itu, Nanta menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bersabit kenaikan harga barang.
Nanta berkata pihak KPDNHEP tidak mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas kenaikan harga barangan, namun mempunyai pelan jangka panjang untuk mengawal fenomena itu.
Beliau juga menolak desakan untuk menteri bertanggungjawab letak jawatan jika harga barangan tidak turun.
“Awak kena tahu, ini bukan dalam kawalan KPDNHEP. Kalau nak berjanji letak jawatan…YB Port Dickson pun pernah kata dulu, kalau hari ini kita (PH) menang, esok minyak turun….pun tak turun. (MP) Iskandar Puteri (Lim Kit Siang) pun kata kalau Anwar tak jadi Perdana Menteri, saya akan berundur…tapi tak undur pun,” katanya.
Jawapan Nanta mengundang kekecohan dan dan ada kalangan Ahli Parlimen pembangkang mengejeknya sebagai “menteri tak capai KPI ini.”
Terdahulu Guan Eng berkata kenaikan harga barang ini paling tinggi dalam sejarah negara malah keadaan seumpama ini tidak pernah berlaku ketika PH menjadi kerajaan.
“Sekarang harga sayur lebih mahal daripada daging. Sampai cili pun RM20. Mana pernah lihat? Masa PH jadi kerajaan, tak pernah berlaku perkara macam ini. (Harga) ini sesuatu yang paling tinggi dalam sejarah kita.
“Sekarang jangan salahkan mereka (peniaga) sebab mereka pun mangsa. Kalau nak kenakan (hukum) peniaga, itu salah. 100 kali salah,” kata Guan Eng.
Guan Eng kemudiannya mencadangkan agar Perdana Menteri dan kerajaan harus mengadakan majlis khas nasional bagi membincangkan isu kenaikan harga barang.
Cadangan Guan Eng mengundang teguran sinis Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.
“Nanti mereka kena tambah 10 orang penasihat pula,” kata Mohamad.
Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu merujuk kepada pelantikan beberapa penasihat khas kepada Perdana Menteri sebelum ini yang dikritik pembangkang kerana dianggap sebagai pembaziran wang rakyat.
Kalangan aktivis pengguna memberi amaran rakyat berkemungkinan berdepan dengan kenaikan harga barang antara 30% hingga 200% menjelang 2022 ekoran fenomena global dan spekulasi peniaga.