Budak penghidap autisme ditemui lemas di Sungai Sarawak

Budak penghidap autisme ditemui lemas di Sungai Sarawak

Muhd Ramadhan Muhd Ridhwan, 8, sebelum ini dilaporkan hilang dari rumahnya di Batu Kawa, Kuching, Ahad lepas.

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak yang menghidap autisme ditemui lemas di Sungai Sarawak pagi tadi selepas dilaporkan hilang di Batu Kawa, Kuching sejak Ahad lepas.

Mayat Muhd Ramadhan Muhd Ridhwan, 8, ditemui tersangkut pada pukat nelayan, kira-kira 5km dari Pos Kawalan Bomba (PKB) di Kampung Rantau Panjang, pada 7.20 pagi

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang Raffy Saibi, keadaan mayat kelihatan sempurna tanpa sebarang kesan kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke PKB dan disahkan oleh ibu dan bapanya. Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Ahad lepas, mangsa yang tinggal di rumah bersama ibu saudara ketika bapanya keluar berniaga disedari hilang pada kira-kira 2 petang.

Setelah menerima maklumat kejadian pada 7 malam, Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang kemudiannya melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.