Ismail cadang bincang semula projek HSR dengan Singapura

Ismail cadang bincang semula projek HSR dengan Singapura

Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci daripada Malaysia.

Lee Hsien Loong berkata, Singapura terbuka menerima cadangan baharu daripada Malaysia mengenai projek HSR dan Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata, republik itu terbuka untuk menerima cadangan baharu daripada Malaysia berkaitan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara sebelum ini bersetuju menamatkan projek tersebut.

Lee berkata, Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara tersebut dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci daripada Malaysia.

“Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) mencadangkan perbincangan mengenai HSR dihidupkan semula dan saya menjawab bahawa Singapura dan Malaysia telah mencapai persetujuan sebelum ini untuk menamatkan projek HSR dan ini telah diselesaikan secara baik.

“Bagaimanapun, Singapura terbuka menerima cadangan baharu daripada Malaysia mengenai projek HSR dan Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu. Singapura berharap untuk menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia agar kami boleh mengkajinya dan menimbangkan sekali lagi perkara itu,” katanya.

Lee berkata demikian pada sidang media bersama Ismail hari ini yang juga disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi beliau.

Sidang media bersama itu diadakan bersempena pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin jalan darat (VTL-Darat) di Singapura.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dis, 2020.

Pada Mac tahun ini, Malaysia mengumumkan ia membayar SG$102.8 juta (SG$1=RM3.09) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung berkait pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya.

Sementara itu, mengenai projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru- Singapura, Lee berkata, pembinaan projek itu sedang berjalan dan kedua-dua negara berharap sistem itu dapat memulakan perkhidmatan penumpangnya menjelang akhir 2026.

Laluan RTS itu adalah projek kereta api rentas sempadan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan terminal stesen Woodlands North di Singapura dan terminal stesen Bukit Chagar di Johor Bahru Malaysia.

Ia akan menyokong kapasiti kemuncak 10,000 penumpang sejam di kedua-dua arah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.