‘Rintihan rakyat sepanjang masa’, isu air cetus ‘perang mulut’ di DUN Selangor

‘Rintihan rakyat sepanjang masa’, isu air cetus ‘perang mulut’ di DUN Selangor

Masalah gangguan air di Selangor masih menjadi topik 'panas' pada perbahasan sidang DUN hari ini.

Perbahasan sidang DUN Selangor ‘panas’ selepas ADUN kerajaan dan pembangkang bertikam lidah mengenai isu gangguan air yang berlarutan.
SHAH ALAM:
Masalah gangguan air di Selangor masih menjadi topik “panas” pada perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga mencetuskan ketegangan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) dalam perbahasannya membangkitkan isu gangguan air yang masih berterusan walaupun kerajaan negeri sudah mengeluarkan kos tinggi untuk mengatasinya.

“Selangor berterusan berhadapan masalah gangguan air yang sifatkan sebagai endemik.

“Saban tahun saya lihat kerajaan negeri memgumumkan perbelanjaan air begitu tinggi kononnya untuk memastikan masalah air di Selangor ini akan selesai pada Bajet 2021,” katanya.

Perbahasan beliau bagaimanapun dicelah Lau Weng San (DAP-Banting) yang menyatakan, Pahang dan Johor bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) juga berdepan masalah bekalan air.

Ia kemudian dicelah Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) yang menyatakan kekesalannya terhadap pengurusan masalah air di Selangor yang menyebabkan kesukaran dalam kalangan rakyat apabila gangguan berlaku.

“Masalah gangguan air dendangan yang akan menjadi rintihan rakyat sepanjang masa, setiap tahun rakyat terpaksa membelanjakan wang dengan banyak untuk membeli alat alternatif membuat tangkungan air,” katanya.

Bagaimanapun, ketegangan berlaku apabila Shamsudin ditegur Timbalan Speaker DUN, Hasnul Baharuddin yang memintanya meringkaskan pertanyaan dan memberi laluan kepada Rizam untuk berbahas.

Namun, teguran pertama tidak diendahkan Shamsudin menyebabkan berlaku pula “perang mulut” antara beliau dan Teng Chang Khim (DAP-Bandar Baru Klang) yang bangun membacakan buku peraturan meminta ADUN Sungai Burong itu duduk.

Sebaik keadaan kembali reda, Timbalan Speaker DUN meminta Rizam meneruskan perbahasan.

Rizam menggesa kerajaan negeri supaya meneliti semula pelaksanaan dan pemantauan isu air supaya ia dapat diminimumkan, selain meminta Menteri Besar Amirudin Shari menyatakan berapa peratus masalah air berjaya diatasi mengikut kos dikeluarkan.

“Saban tahun saya lihat kerajaan negeri umum perbelanjaan air begitu tinggi, kononnya itulah kaedah untuk menyelesaikan masalah air dan dalam Bajet 2021 kerajaan negeri umum sebanyak RM779 juta agar masalah air tidak berulang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.