Terima kasih tak letak calon, kata Abang Jo kepada Bersatu, BN

Terima kasih tak letak calon, kata Abang Jo kepada Bersatu, BN

Pengerusi GPS Abang Johari Openg berkata keputusan dua parti itu menunjukkan semangat setia kawan yang baik.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata keputusan dibuat pimpinan dua parti berkenaan kerana memahami situasi politik negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengucapkan penghargaan kepada Bersatu dan Barisan Nasional (BN) yang tidak meletakkan calon pada pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, kata Pengerusinya, Abang Johari Openg.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, keputusan dua parti itu menunjukkan semangat setia kawan yang baik sebagai rakan gabungan pada peringkat persekutuan.

Beliau juga yakin keputusan itu dibuat kerana pimpinan dua parti itu memahami situasi politik Sarawak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) dan Annuar Musa (Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno) yang mengumumkan tidak meletakkan calon masing-masing pada pilihan raya Sarawak.

“Ini satu semangat yang baik kalangan kita, khususnya kerana kita ada wakil dalam kerajaan pusat, Bersatu ada dan BN juga ada,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Abang Johari berkata, dua parti itu memberi ruang kepada rakyat Sarawak untuk menentukan hala tujunya.

“Dengan semangat ditunjukkan itu, kita boleh menjadi rakan dalam gabungan Malaysia untuk membangunkan negara,” katanya.

Bersatu mempunyai satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak, iaitu di Krian dan dengan pengumuman Muhyiddin semalam, penyandang kerusi itu, Ali Biju dijangka memberi laluan kepada GPS.

GPS sebelum ini sudah memutuskan untuk bertanding di semua 82 kerusi DUN pada PRN Sarawak yang akan diadakan 18 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.