PRN Sarawak: GPS mampu sapu semua 82 kerusi, kata Abang Jo

PRN Sarawak: GPS mampu sapu semua 82 kerusi, kata Abang Jo

Perkara itu boleh dicapai sekiranya gabungan parti itu bergerak dalam satu pasukan.

Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg (tiga dari kanan) dan kepimpinan tertinggi GPS melafazkan ikrar pada Majlis Pelancaran Jentera GPS bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) malam ini. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu menang di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pilihan raya negeri (PRN) itu, 18 Dis depan, kata Pengerusi GPS Abang Johari Openg.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata perkara itu boleh dicapai sekiranya gabungan parti itu bergerak dalam satu pasukan.

“Jika kita berjuang di medan perang (pilihan raya) dengan satu semangat dan satu pasukan, kita boleh sapu semua 82 kerusi,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran jentera GPS bagi PRN Sarawak di sini, malam ini.

Abang Johari berkata jentera GPS harus membawa mesej untuk membantu rakyat semasa keluar berkempen dalam PRN ke-12 itu, kelak.

“Kita keluar dan terus berjuang demi Sarawak. Sama-sama kita bergerak dengan satu nada, satu irama dan satu lagu. Ini tanggungjawab kita semua,” katanya.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi sebelum ini berkata GPS akan bertanding di semua 82 kerusi DUN Sarawak pada PRN akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 6 Dis, pengundian awal pada 14 Dis dan hari pengundian pada 18 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.