
Mangsa, Mohd Nasir Othman, 43, nyaris lemas susulan bot gentian kaca dinaikinya karam akibat dipukul ombak.
Anak mangsa, Zarif Nasrruddin Mohd Nasir, 20, berkata bapanya ditemui sebuah bot tunda yang berjaya menyelamatkannya sekitar 6 petang semalam dan kini mangsa sedang menjalani rawatan di Hospital Kemaman.
“Saya bersyukur selepas dimaklumkan ayah selamat dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd Rashid, berkata ketika kejadian mangsa sedang memancing sebelum bot gentian kaca dinaiki dipukul ombak.
Katanya, dalam suasana kelam-kabut itu, mangsa sempat berpaut pada botnya dengan sebahagiannya sudah tenggelam.
“Mangsa bernasib baik apabila sebuah bot tunda dalam perjalanan dari Thailand menuju ke Indonesia melalui perairan terbabit dan ternampak mangsa sebelum menghampiri dan memberi bantuan.
“Mangsa kemudian dibawa naik ke atas bot tunda terbabit sebelum perkara itu dilaporkan kepada APMM,” katanya.
Katanya, sebuah bot Penggalang 16 kemudian dihantar ke lokasi kejadian, kira-kira 19 batu nautika dari Kuala Kemaman.
Katanya, mangsa dibawa ke jeti Maritim Kemaman kira-kira 3.40 pagi tadi sebelum dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.